NUBE CyberTroopers

sTand & FighT…

Dasar Gaji Minimum Dilaksana

Oleh : Raja Syahrir Abu Bakar
Utusan Malaysia 15/06/2011

SUBANG JAYA 14 Jun – Pelaksanaan gaji minimum untuk golongan pekerja berpendapatan rendah di negara ini dijangka dapat dibuat sebelum akhir tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk itu, menurut Perdana Menteri, Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

“Jika diluluskan, kita akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara dan diharap gaji minimum dapat dilaksanakan sebelum akhir 2011.

“Umpamanya soal umur persaraan, elaun sara hidup (COLA) dan pekerja asing, ini semua persoalan yang wajar diperhalusi secara mendalam agar keputusan nanti mendatangkan kebaikan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sempena Hari Pekerja 2011 di sini malam ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Presiden MTUC, Mohd. Khalid Atan dan Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Najib menambah, pihak pekerja, majikan dan kerajaan di negara ini perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengelakkan perbalahan terbuka sesama sendiri seperti yang kerap berlaku dalam era 60-an dan 70-an dahulu.

Katanya, ini bagi memastikan setiap permasalahan dapat diselesaikan dengan bijak seterusnya memastikan Malaysia berjaya mencapai wawasan menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.

“Ini untuk melihat ketiga-tiga pihak ini sebagai satu pasukan dalam erti kata dapat bergabung, jalin dalam satu perkongsian dan apabila saya sebut perkongsian, tidak bererti kita tidak boleh mempunyai perbezaan pendapat,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Khalid dalam ucapannya berkata, kehadiran Najib pada majlis itu adalah penghargaan terbesar kepada MTUC kerana julung-julung kalinya ia dihadiri oleh seorang Perdana Menteri sejak MTUC ditubuhkan.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Portal Aduan Pekerja yang digerakkan oleh Pemuda UMNO dengan kerjasama MTUC.

Perdana Menteri juga menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada bekas Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran atas sumbangannya kepada kongres tersebut selama ini.

15/06/2011 - Posted by | Berita Semasa, Pertikaian, Perundangan

No comments yet.

Leave a comment